Ditakrifkan sebagai sebuah negara Islam apabila sesebuah negara itu memiliki perundangan syarak secara menyeluruh (syumul) dan mendaulatkannya kerana taatkan perintah Allah dan RasulNya disamping menjaga kemaslahatan ummat.
Perundangan Islam terutama sekali hukuman hudud dan ta’zir hanya diwajibkan ke atas kaum muslimin yang melanggar peraturan yang ditetap oleh Allah. Adapun bagi golongan non-muslims, hukuman hudud dan ta’zir adalah merupakan perkara ikhtiati (pilihan/optional). Lantaran itu, beberapa perundangan sivil yang dikatakan sebagai perundangan secular perlu juga dikekalkan bagi golongan non-muslims jika Malaysia dibentuk menjadi sebuah negara Islam secara syumul.
Begitu juga dengan perundangan wad’ie (peraturan yang dibentuk tanpa menyalahi al-Quran dan al-Sunnah) seperti peraturan jalanraya (penggunaan traffic light dan zebra crossing) dan sebagainya.
Di Malaysia, setiap urusan berkaitan agama (hal-ehwal agama) diletakkan dibawah bidang kuasa kerajaan negeri. Memandangkan gejala jenayah yang semakin menjadi-jadi dan juga demi meraih keredhaan Ilahi, PAS yang menerajui pentabdiran negeri Kelantan telah bertindak berani menyusun satu perudangan Islam berasaskan al-Quran dan al-Sunnah serta mazhab-mazhab fiqh yang muktabar.
Perundangan yang dimaksudkan ini dikenali sebagai Enakmen Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan. Kemudian kecenderungan ke arah perlaksanaan Undang-undang hudud ini turut dihighlightkan dalam tempoh sepenggal PAS memerintah Terengganu di bawah kepimpinan Hj.AbdulHadi Awang.
Berkaitan dengan masalah pembalasan had ke atas peminum arak, jumlah had sebatan bagi kesalahan ini sebenarnya tidak dinyatakan secara jelas dalam al-Quran sepertimana hukuman-hukuman had bagi kesalahan lain seperti jumlah sebatan bagi penzina yang belum berkahwin.
Begitu juga Rasulullah tidak menetapkan kadar jumlah sebenar hukuman sebat ke atas peminum arak. Adakalanya Rasulullah menyebat pesalah dengan bilangan yang sedikit dan adakalanya beliau menyebat dengan bilangan yang banyak. Paling maksimum sebatan yang dibuat oleh Rasulullah ialah tidak melebihi 40 kali sebatan. Dalam satu riwayat dinyatakan bahawa Abu Bakar r.a bertanya para sahabat mengenai bilangan sebatan ke atas pesalah berkenaan. Lalu mereka (para sahabat) menganggarkan bilangan tersebut adalah 40 kali sebatan. Malah Abu Said al-Khudri dan Ali bin Abi Talib turut meriwayatkan bahawa Rasulullah telah menyebat si pesalah sebanyak 40 sebatan.
Bilangan 40 ini turut diamalkan oleh Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib kecuali Umar al-Khattab yang menambah seganda serta menetapkan jumlah sebatan sebanyak 80 sebatan.[1] Riwayat ini juga membuktikan bahawa perundangan Islam adalah berasaskan hukum fiqh yang amat fleksible.
1. Biarpun hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah iaitu 6 sebatan dan denda sebanyak RM 5,000 tidaklah sepenuhnya menepati hukum syara’ tetapi sekurang – kurangnya ia membawa semangat perlaksanaan undang – undang syariah dalam negara ini .
2. Jika 6 sebatan sahaja dibantah dan ditentang habis – habisan oleh SIS dan JAG , saya tidak dapat gambarkan bagaimana mereka mahu bertindak jika negara ini benar – benar melaksanakan hukum syara’ iaitu antara 40 ke 80 kali sebat bagi mereka yang sabit bersalah meminum arak .
Kenyataan Tantawi ini dibuat dalam blog beliau kerana memprotes tindakan Sister in Islam (SIS) dan Kumpulan Tindakan Bersama Untuk Persamaan Jantina (JAG) yang mempertikaikan hukuman sebat ke atas diri Kartika.(Artikel dibawah tajuk SIS kian Melampau). Memanglah tindakan SIS dan JAG itu melampau tapi kenyataan Tantawi ini juga melampau!!!
sila klik dibawah
http://towardsmardhatillah.wordpress.com/2009/07/27/hukuman-sebat-bagi-peminum-arak/
Sebagai makluman tambahan, perlu juga dinyatakan; Mengikut kaedah-kaedah hukuman sebat seksyen 53 dalam Enakmen Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 Negeri Kelantan;
i) Kaedah-kaedah dalam jadual ini hendaklah dipakai untuk melaksanakan hukuman sebat di bawah seksyen 53.
ii) Hukuman sebat yang dijalankan ke atas seorang pesalah hendaklah dijalankan oleh seorang pegawai yang ditugaskan khas oleh pihak berkuasa penjaradi tempat dan masa yang diarahkan oleh Mahkamah dan hendaklah di hadiri dan disaksikan oleh pegawai perubatan Islam dan sekurang-kurangnya empat orang Islam sebagai saksi; dengan syarat bahawa sebelum hukuman itu dijalankan pesalah itu hendaklah diperiksa oleh pegawai perubatan itu dan disahkan sebagai sihat dan berupaya menjalani hukuman sebat itu.
iii) Tiada hukuman sebat boleh dijalankan ke atas seseorang pesalah melainkan setelah tamat tempoh 14 hari selepas daripada tarikh hukuman itu dijatuhkan; dan jika ada rayuan, hukuman itu hendaklah dijalankan dalam tempoh yang seberapa segera selepas daripada hukuman itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan Syariah Khas.
iv) Hukuman Sebat itu hendaklah dijalankan dengan cara pegawai tersebut memukul pesalah itu dengan rotan yang mana ukurannya (kecuali dalam kes yang disebut dalam Kaedah B (2) (ii) ialah satu meter panjang dan satu sentimeter garis pusat (diameter).
v) Hukuman sebat itu hendaklah dijalankan dengan cara membahagikan pukulan di merata-rata tubuh badan kecuali muka, kepala, dada dan kemaluan.
vi) Hukuman sebat itu hendaklah dijalankan dengan cara pukulan yang sederhana yang mana pegawai yang menjalankan hukuman itu tidaklah boleh mengangkat rotan penyebat itu tinggi hingga ke paras kepalanya dan pukulan itu hendaklah diberi berturut-turut dan tidak melebihi bilangan yang ditetapkan oleh Mahkamah.
vii) Ketika menerima sebatan, pesalah itu hendaklah berdiri dan memakai pakaian nipis yang menutup auratnya mengikut hukum syarak.
viii)(1) Jika dalam masa sebatan itu dijalankan, pesalah didapati tidak mampu atau tidak berupaya lagi menerima sebatan itu, maka atas pengesahan pegawai kesihatan itu, sebatan itu hendaklah diberhentikan dengan serta-merta dan ditanguhkan sehingga Mahkamah memberi satu arahan baru untuk menyambung semula hukuman sebat itu; dan buat sementara waktu pesalah itu hendaklah ditahan dalam penjara atau dibebaskan dengan jaminan.
(2) Arahan itu hendaklah dibuat dengan berpandukan kepada laporan pegawai perubatan seperti berikut;
i) Sekiranya mengikut laporan itu pesalah itu ada harapan sembuh daripada sakitnya, maka hukuman sebat itu hendaklah disambung semula dengan seberapa segera apabila ia pulih daripada sakitnya, dan
ii) Sekiranya mengikut laporan itu pesalah itu tidak ada harapan sembuh daripada sakitnya walau apapun sakitnya itu, maka hukuman sebat itu hendaklah diteruskan juga di suatu masa yang sesuai tetapi rotan yang akan digunakan untuk menyambung hukuman sebat itu hendaklah terlebih ringan dan kecil daripada ukuran yang ditetapkan di bawah kaedah 4.[2]
Hukuman sebat hanya boleh ditangguhkan kerana sebab-sebab kesihatan fizikal dan mental yang dialami oleh pesalah dan ia tidak boleh ditangguhkan atas alasan kerana menghormati bulan Ramadhan. Jumlah sebatan ke atas golongan hamba adalah separuh daripada jumlah sebatan yang ditetapkan ke atas golongan mereka yang merdeka. Jika golongan merdeka dikenakan 40 sebatan, maka golongan hamba perlu dikenakan sebanyak 20 sebatan. Sekiranya golongan merdeka dikenakan sebatan sebanyak 80 sebatan, maka golongan hamba perlu disebat sebanyak 40 sebatan. (Fiqh al-Sunnah, jilid 2, hlm 492-493).Jika golongan merdeka ditetapkan sebanyak 30 sebatan, maka golongan hamba pula wajar dikenakan sebanyak 15 sebatan. Begitulah seterusnya.
--------------------------------------------------------------------------------
[1] Sila rujuk Abd al-Qadir Audah, al-Tasyi’ al-Jinaii al-Islami, jlild 2, hlm 506 dan juga Dr. Mat Saat AbdulRahman, Undang-Undang Jenayah Islam, (JENAYAH HUDUD), hlm 128-129.
[2] Sila rujuk Perlaksanaan Hukum Hudud di Kelantan, (terbitan Telda Corporation Sn.Bhd, hlm 127-128 dan 145-147.
Sabtu, 14 November 2009
Langgan:
Catatan (Atom)