Sabtu, 25 April 2009

Keris UMNO Semakin Tumpul...

Setelah melantun bola ke gelanggang Parti Keadilan Rakyat dalam cubaan jelas untuk mengaibkan parti itu dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, UMNO dan Suruhanjaya Pilihanraya terperangkap dengan mainan politik sendiri bersabit pilihanraya kecil Penanti.

Keputusan berprinsip dan berani Mohamad Fairus Khairuddin untuk tetap melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri itu walaupun dibersihkan oleh SPRM, menggagalkan hasrat Najib untuk mengelak bertanding di Penanti dan kemungkinan ”jatuh air muka.”

Mainan politik adalah perkara biasa untuk orang politik. Yang menjadi kebimbangan ialah usaha SPR akhir-akhir ini yang dilihat sebagai membantu menjayakan sifir politik UMNO dan Najib.














Buat pertama kali, SPR menangguhkan keputusan menetapkan tarikh pilihanraya kecil walaupun segala peruntukan untuk berbuat demikian telah dipenuhi.

Penangguhan itu jelas bersandarkan harapan Fairus akan menarik balik surat peletakan jawatan setelah dibersihkan oleh SPRM.

Namun SPR dan UMNO hampa ia tidak berlaku dan kini menghadapi realiti bahawa UMNO terpaksa menghadapi rakyat di Penanti. .

Umum tahu kenapa Najib mengelak pilihanraya kecil Penanti. Tewas pada kesemua empat pilihanraya kecil di Semenanjung sejak Mac tahun lalu, beliau tentunya tidak mahu memberi ruang untuk rakyat sekali lagi meneropong dan mengadili rekodnya.

Walaupun media arus perdana dan UMNO lantang bersuara bahawa Najib baru menjadi Perdana Menteri, yang dipertikaian ialah rekod Najib sebagai Menteri untuk berbelas tahun dan sebagai Timbalan Perdana Menteri selama lima tahun. yang lalu. .

Prestasinya selama ini dalam kerajaan menimbulkan cukup banyak persoalan mengenai kewibawaan, keikhlasan, ketelusan dan kebertanggungjawaban Perdana Menteri yang baru. Najib masih belum menampakkan keseriusan untuk menangani isu-isu seperti rasuah dan penyelewengan kuasa di dalam UMNO dan kerajaan.

Beliau juga belum menjawab segala dakwaan bersabit dirinya, satu hakikat yang disuarakan sendiri oleh mantan perdana menteri Tun Mahathir.

Apa yang terus berlaku di bawah Najib ini ialah media arus perdana masih menerima arahan daripada pejabat Perdana Menteri. Agensi Kerajaan Persekutuan diarah untuk menggerakkan pelan tindakan menjatuhkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Kuasa Speaker di dewan undangan negeri diperlekehkan sebegitu rupa dalam keghairahan merampas kuasa di Perak. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah pula dibawa masuk untuk menyiasat segera dan bertindak atas aduan-aduan membabitkan pemimpin Pakatan.

Semua ini pernah berlaku dalam zaman Tun Mahathir Mohamad dan kini kembali berlangsung dengan lebih rancak lagi pada hari-hari awal pentadbiran Najib.

Malah Najib ke depan satu langkah lebih dengan tindakannya semalam untuk mengekalkan pemimpin UMNO yang didapati salah atas tuduhan rasuah untuk terus menjadi ketua perhubungan negeri Melaka dan Ketua Menteri.

Berlatarbelakangkan semua ini, tidak hairanlah UMNO di bawah Najib tidak mahu menghadapi rakyat di Penanti.

Maka di gembar-gemburkan menerusi media arus perdana, bahawa Fairus kononya dipaksa meletak jawatan oleh Anwar dalam mainan politik dalaman PKR dan UMNO kononnya tidak rela menjadi sebahagian daripada konspirasi Anwar.

Najib turut mengatakan pilihanraya kecil Penanti hanya merugikan dana awam, dan pandangan itu cepat-cepat disambut oleh Pengerusi SPR yang kini menimbang untuk menggubal undang-undang baru berasaskan pandangan Perdana Menteri.

Namun segala mainan politik UMNO itu yang di lengkapkan pula oleh SPR, tidak mencapai maksudnya apabila Fairus berkata beliau tetap melepaskan kerusi Penanti.

UMNO mendapat tamparan lebih hebat apabila Fairus mengisytiharkan akan terus memberi sokongan penuh kepada Anwar dan PKR.

Tentunya tindakan Fairus itu sukar difahami oleh Najib dan sekutu-sekutunya kerana ia bertentangan dengan amalan dan tradisi politik UMNO.

Ahli UMNO tentunya menggeleng kepala dan cuba mencari alasan politik di sebalik tindakan Fairus melepaskan semua jawatan dalam kerajaan dan sebagai wakil rakyat.

Mereka tentunya tidak dapat menerima hakikat Fairus bertindak atas kepentingan perjuangan parti.

Fairus membelakangkan segala gula-gula politik yang ditawarkan oleh pihak ketiga untuk lompat parti atau kekal sebagai ADUN bebas, demi memastikan apa saja asalkan pilihanraya kecil tidak diadakan.

Namun beliau menunjukkan kewibawaan sebagai pemimpin muda PKR yang sanggup berpegang kepada prinsip dan membuktikan wadah politik baru yang dibawa oleh PKR bukan omong-omong kosong.

Seperti mana parti-parti yang masih melalui proses evolosi, PKR tidak kalis masalah dan cabaran. Namun keputusan Fairus untuk tetap melepaskan kerusi Penanti, membuktikan beliau tidak rela menjadi mangsa mainan politik SPRM, SPR mahupun UMNO.

Keputusan Fairus membuktikan PKR mempunyai kepimpinan yang berani menggalas tanggungjawab dan risiko politik serta membelakangkan kepentingan diri dalam menyerlahkan obor perjuangan PKR.

Najib semalam memberitahu media bahawa biro politik yang dipengerusikannya akan membuat keputusan muktamad mengenai Penanti.

Apabila ditanya bila keputusan itu akan dibuat, Perdana Menteri menjawab “Apakah saya perlu memberitahu anda?”

Bibit-bibit keangkuhan pemimpin, dan rasa takut untuk berdepan dengan rakyat semakin menyerlah.

Tiada ulasan: