50tahun adalah tempoh masa yang lama. Jika kita menanam benih durian, telah bermusim hasilnya dikecapi, padi pula pasti telah berelung-relung dituai, tetapi mengapakah umat Islam masih belum bangkit? Ke manakah hilangnya kekayaan negara yang melimpah ruah yang Allah anugerahkan? Mengapa masih ada yang menderita kemiskinan? Mengapa masih ada yang rumahnya hanya menunggu roboh tanpa dipedulikan? Mengapa rancangan 'Bersamamu TV3' boleh ada? Mengapa wang berjuta ringgit boleh dilaburkan untuk pesta 'kongsi raya' yang haram itu, walhal pada masa yang sama terdapat rakyat yang tidak cukup makan? Berapa ramai rakyat yang makan makanan tidak berkhasiat walhal dalam masa yang sama para pemimpin menikmati hidangan lazat yang tidak putus-putus? Ke mana hilangnya wang zakat yang berjuta-juta ringgit jumlahnya setiap tahun yang jika betul-betul diagihkan, mustahil akan ada kemiskinan? Umat Islam kini betul-betul terbelenggu... Sebenarnya seribu lagi persoalan boleh dilontarkan untuk menunjukkan 'lingkaran penderitaan' yang dialami oleh umat Islam hari ini. Apakah yang tidak kena? Jika dulu Khalifah Umar Bin Abdul Aziz hanya mengambil masa 3 tahun untuk menghapuskan kemiskinan seluruh wilayah Islam bahkan sehingga ke utara benua Afrika, walhal ketika itu, satu-satunya jalan perhubungan adalah dengan menaiki unta atau kuda, mengapakah umat Islam di Malaysia, sehingga kini masih lagi ada yang miskin? Padahal, teknologi pengangkutan, komunikasi dan sebagainya ketika ini jauh lebih canggih dari zaman Khalifah Umar Abdul Aziz. Jawapannya - kerana hukum Allah tidak diterapkan. Anugerah Allah amatlah luas, namun pengagihannya tidak sebagaimana yang Allah perintahkan. Ideologi kotor Kapitalis yang meresapi kebanyakan para pemimpin dan golongan yang kaya-raya menyebabkan mereka hidup atas dasar manfaat, bukan meraih redha Allah. Mereka dibelenggu dengan pemikiran-pemikiran kufur dalam segala aspek kerana manfaat dunialah yang menjadi agenda perjuangan, bukannya redha Allah dan syurgaNya. Wahai kaum Muslimin! Selagi pemikiran kufur Kapitalis inilah yang mendominasi sistem kehidupan kalian, maka selagi itulah kita akan menyaksikan penderitaan umat Islam tidak akan berakhir. Oleh itu, kalian wajib berjuang untuk membebaskan belenggu kekufuran yang ada dengan menggantikannya dengan satu sistem yang diredhai dan dirahmati Allah. Kalian bertanggungjawab untuk mengubah keadaan ini kepada keadaan yang Allah kehendaki, dan Allah tidak akan mengubah kalian kecuali kalian sendirilah yang berbuat demikian, Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala, "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sehingga kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka" [TMQ Ar Ra'd (13):11] Siapakah Pejuang Kemerdekaan Sebenar? Setiap tahun pasti ada segmen samada di televisyen atau akhbar-akhbar tempatan yang menampilkan beberapa orang 'pejuang' kemerdekaan untuk tatapan generasi yang lahir sesudah merdeka, agar mengenali dan menginsafi kepayahan mendapatkan sebuah kebebasan. Mereka ditemuramah dan diminta menceritakan kisah perjuangan mereka sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Tidak kurang, sejarah beberapa orang tokoh yang telah kecundang turut dikisahkan. Jika dulu kisah-kisah seperti Leftenan Muda Adnan dan Bukit Kepong sering diketengahkan setiap kali menjelang hari kemerdekaan, kini kehangatannya sudah semakin pudar seiring dengan pudarnya semangat kemerdekaan yang ditunjukkan oleh masyarakat Malaysia. Mungkin juga kerana rakyat Malaysia khasnya umat Islam mula menyedari bahawa Tanah Melayu sebenarnya memperolehi kemerdekaan tanpa menumpahkan setitis darah pun. Kemerdekaan yang diperolehi sesungguhnya adalah melalui proses 'rundingan' yang dilakukan oleh Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman dengan pemerintah British ketika itu. Sejarah menceritakan kepada kita bagaimana Tunku Abdul Rahman berulang-alik ke kota London untuk 'menagih' sebuah kemerdekaan yang sememangnya telah dirancang oleh British. Setelah British berpuas hati bahawa segala cara hidup, undang-undang dan juga sistem kufur ciptaan mereka akan diteruskan oleh pemimpin-pemimpin Tanah Melayu, maka British dengan senang hati dan bangga 'menghadiahkan' sebuah kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Wahai kaum Muslimin! Kajilah dengan minda yang jernih dan kalian akan menyedari bahawa sebenarnya Leftenan Muda Adnan adalah seorang askar Melayu yang berjuang mempertahankan Bukit Candu dari serangan Jepun pada 13 Februari 1942 di atas tiket tentera British dan bukannya menentang Jepun untuk mendapat kemerdekaan, tetapi untuk mempertahankan British. Begitu juga dengan peristiwa Bukit Kepong yang sebenarnya tidak ada kaitan dengan perjuangan kemerdekaan. Kakitangan polis dibawah naungan British pada waktu itu terpaksa berjuang untuk mempertahankan diri masing-masing di Berek Polis Bukit Kepong yang diserang oleh Komunis yang diketuai oleh Muhammad Indera dengan kekuatan 200 orang anggota. Peristiwa berdarah ini berlaku pada pukul 5.00 pagi tanggal 23 Februari 1950 dan mengakibatkan seramai 50 orang terbunuh. Perjuangan mereka ini pada hakikatnya bukanlah untuk kemerdekaan seperti yang disangkakan ramai. Hakikatnya, perjuangan mereka ini adalah mengatas namakan British dan pemerintahannya di Tanah Melayu. Inilah kejayaan British. Mereka berjaya menanamkan konsep bahawa sesiapa sahaja yang menjadi musuh British, maka ia adalah musuh kita. Kita amat membenci Jepun, begitu juga Komunis, tetapi kita amat sayang kepada British, walhal mereka inilah yang memecahbelahkan kita dan menjadi penjajah yang lebih dahulu dan lebih lama menjajah kita daripada Jepun atau Komunis. Berlaksa-laksa emas kita, timah kita, bijih besi kita dan lain-lain sumber alam kita yang mereka rampas, kemudian kita berterima kasih kepada mereka kerana menganugerahkan kita sebuah 'kemerdekaan'! Tidakkah kita sedar bahawa walaupun penjajahan telah berakhir, namun British masih berjaya meletakkan dirinya sebagai tuan kepada semua negara bekas jajahannya melalui kewujudan negara-negara Commonwealth, yang tak lain tak bukan bertujuan memperingati 'ketuanan' British suatu waktu dulu. Dalam aspek lain, ternyata ketuanan British sampai sekarang masih ada di hati sebahagian dari umat Islam. Rasa bangga apabila dapat belajar di negeri penjajah masih menebal di kalangan masyarakat. Rasa bangga apabila dapat menguasai bahasa penjajah juga masih berlegar dalam masyarakat. Rasa bangga dengan kemerdekaan yang mereka hadiahkan kepada kita masih sampai sekarang dirasai dan dira'i! Inilah kejayaan British. Wahai kaum Muslimin! Rasulullah Sallallahu "alaihi wa Sallam telah berjaya membuka kota Mekah pada tahun ke-8 Hijriyyah. Rasulullah telah mengeluarkan umat manusia dari kegelapan menuju cahaya. Baginda berjaya membebaskan manusia yang ada di Mekah pada waktu itu yang masih terbelenggu dengan sistem Jahiliyyah dan menggantikannya dengan sistem Islam. Rasulullah dan para sahabat seterusnya berjaya melepaskan satu demi satu negara yang dikongkong dengan penyembahan kepada taghut dan memimpin mereka kepada penyembahan kepada Allah. Khalifah Umar Al Khattab radhiAllahu 'anhu telah membuka kota Baitul Muqaddis, kiblat pertama umat Islam yang di dalamnya terdapat Masjid Al-Aqsa yang merupakan masjid ketiga mulianya di sisi Islam. Sultan Muhammad Al Fatih telah membuka Constantinople (Istanbul) dan Allah telah memberi kemuliaan kepada beliau melalui sabda Rasulullah Sallallahu "alaihi wa Sallam, "Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya" [HR Ahmad]. Ramai lagi para para pemimpin Islam yang telah melakukan perkara yang sama, samada di zaman pemerintahan Bani Umayyah, Abbasiyyah mahupun Uthmaniah. Salahuddin Al-Ayubi, seorang tokoh yang sukar dicari ganti yang telah melancarkan banyak jihad untuk membebaskan manusia dari kegelapan dan kezaliman pemerintahan kufur menuju pemerintahan Islam. Pembebasan Baitul Muqaddis merupakan sejarah harum yang telah dilakukan oleh beliau. Panglima Islam, Rabi' bin Amir, di dalam misi jihadnya ke Parsi, dengan tegas dan beraninya menyatakan kepada Rustam, Ketua Panglima perang Parsi, "Sesungguhnya Allah telah mengutus kami untuk mengeluarkan manusia dari penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan kepada Allah, dari kezaliman agama-agama yang ada menuju keadilan Islam, dan dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat." Di sepanjang pemerintahan mereka, para Khalifah Islam tak putus-putus melancarkan jihad dan membuka serta membebaskan manusia daripada belenggu sistem hidup kufur kepada sistem hidup Islam. Tokoh-tokoh inilah yang merupakan pejuang kemerdekaan sebenar. Mereka membebaskan negara-negara kerana Allah, mereka memerdekakan negara-negara kerana mengikuti Rasulullah dan mereka berjuang demi meninggikan kalimat Allah, bukan berjuang mempertahankan musuh dan sistem kufur. Mereka ini juga bukan merupakan 'pejuang kebangsaan', tetapi merekalah 'pejuang Islam' yang dirahmati Allah. Tokoh-tokoh inilah yang sepatutnya dibanggakan dan diikuti oleh kita kaum Muslimin. Mereka membebaskan umat manusia dan membawanya menuju kebangkitan dan kemuliaan, hanya dengan Islam. Khatimah Wahai kaum Muslimin! Umat Islam wajib dimerdekakan dari sistem kufur yang membelenggu mereka. Kemerdekaan yang sebenar adalah kembalinya umat Islam ke pangkuan Islam sepenuhnya, keluarnya umat Islam dari mengabdikan diri kepada sistem buatan manusia, kepada sistem ciptaan Tuhan manusia. Keluarnya British dari Tanah Melayu tidak bermaksud yang kita telah merdeka. Secara fizikalnya British memang telah kembali ke negara mereka, tetapi penjajahan yang lebih dahsyat masih lagi berlaku iaitu dari segi pemikiran. Pemikiran umat Islam hari ini masih lagi dijajah. 'Orang' British telah pergi, tetapi 'cara hidup' British masih berjalan dan diamalkan. 'Pemimpin' British telah balik, tetapi pemimpin yang berpemikiran British masih ramai, 'Pemerintah' British telah tiada, tetapi undang-undang British masih kekal hingga sekarang. Inilah hakikat penjajahan yang masih berlaku di Malaysia di mana sistem kufur British masih lagi 'berkuasa penuh'. Walau tiada seorang pun yang berambut perang dan bermata biru di dalam kabinet Malaysia, namun sistem mereka masih tetap 'diwarisi' dan digenggam erat. Wahai kaum Muslimin! Kalian perlu merdeka dari seluruh ikatan-ikatan kufur yang mengikat kalian. Ikatan assabiyyah (perkauman), wathaniyyah (patriotisme) , liberalisme, sekularisme, pluralisme dan bermacam-macam 'isme' lain lagi merupakan ikatan-ikatan kufur yang masih membelenggu kalian. Ikatan-ikatan inilah yang menyebabkan kalian berpecahbelah dan menjadi semakin lemah, dan inilah yang dikehendaki oleh musuh-musuh kalian. Dengan itu, mereka boleh membantai Palestin dengan sesuka hati, menumpahkan darah di Afghanistan semahu mereka, menyiksa kaum Muslimin di Iraq tanpa rasa kemanusiaan dan bermacam-macam lagi penganiayaan ke atas umat Islam. Mereka tahu bahawa umat Islam di seluruh dunia, khasnya para pemimpin, hanya akan menjadi penonton kepada kekejaman mereka. Mereka tahu bahawa pemimpin Indonesia hanya akan berdoa, pemimpin Malaysia hanya akan bersolat hajat, pemimpin Arab hanya akan membisu, pemimpin Pakistan akan bersama mereka, pemimpin Mesir hanya sekadar mengecam dan begitulah seterusnya. Wahai kaum Muslimin! Sanggupkah kalian berpesta menyambut kemerdekaan yang hanyalah merupakan satu pendustaan penjajah sedangkan penderitaan yang menimpa saudara-saudara kalian masih tidak kunjung padam? Sanggupkah kalian bergembira menyaksikan perarakan yang menelan berjuta-juta ringgit wang rakyat sedangkan jumlah rakyat yang masih miskin dan menderita seringkali tidak dihiraukan? Bukankah lebih baik wang tersebut digunakan untuk memelihara rakyat yang menjadi kewajipan ke atas setiap pemimpin? Sanggupkah kalian beristirehat menonton televisyen sempena kemerdekaan sedangkan Allah memerintahkan kalian untuk berda'wah dan berjuang serta berjihad bagi menzahirkan agamaNya di muka bumi? Bukannya jihad ekonomi yang mementingkan keselesaan duniawi. Sanggupkah kalian taat dan tunduk patuh kepada sistem kufur yang ada sekarang kerana telah memberi sedikit kenikmatan dunia kepada kalian sedangkan pada waktu yang sama kalian membelakangi perintah Allah dan RasulNya? Wahai kaum Muslimin! Janganlah kalian hanya ternanti-nanti munculnya para pejuang kemerdekaan Islam yang sebenarnya. Kita wajib berusaha untuk mengembalikan kehidupan Islam (isti'naful hayatul Islamiyyah) dengan jalan menegakkan semula Daulah Khilafah yang akan memerdekakan umat islam di seluruh dunia. Kita dan saudara-saudara kita di seluruh dunia sesungguhnya benar-benar terdesak memerlukan seorang Khalifah yang akan mempersatukan kita semua di bawah Daulah Khilafah Islamiyah yang akan membebaskan Palestin dari cengkaman Israel, yang akan membebaskan Iraq dan Afganistan dari dikuasai Amerika, yang akan membebaskan Pakistan dari si pengkhianat Islam, Pervez Musharraf, yang akan membebaskan Uzbekistan dari pembunuh kejam, Islam Karimov dan yang akan memerdekakan seluruh negeri kaum Muslimin yang lainnya dari cengkaman Barat dan kuncu-kuncunya serta sistem-sistemnya. Wallahu a'lam. Tanggung jawab kita sebagai umat islam sekarang adalah sama sama mengembalikan serta mengangkat parti-parti islam di seluruh dunia agar mampu menguasai serta menerajui tampuk pimpinan di negara masing-masing seperti di Turkey yang mana telah muncul bibit-bibit islam.. Marilah kita bersama-sama memenangkan islam di negara masing-masing agar sistem kekhalifahan dapat diwujudkan di dunia ini demi mendaulatkan agama Allah serta menghapuskan sistem kuffar yang membelenggu umat islam seluruh dunia - Amin..
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan