Rabu, 9 September 2009
Takdir Allah Menetapkan Kartika Membuka Topeng Negara Islam Plastik UMNO
KUALA LUMPUR, 7 Sept: Kecelaruan yang timbul dalam hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno, 32 atas kesalahan minum arak memperlihatkan betapa mudahnya undang-undang Islam di Malaysia dikelirukan.
Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh berkata, hukuman yang masih gagal dilaksanakan dengan alasan pihak yang bertanggungjawab tiada pengalaman walaupun Kartika sendiri sudah bersedia untuk menghadapinya menunjukkan sikap pemerintah yang tidak bersungguh dalam usaha menegakkan undang-undang Islam.
"Kes kartika ini jelas menunjukkan bahawa sebenarnya Umno bukan menjaga agama Islam tapi menjaga selera mereka sendiri. Ini juga merupakan satu tamparan kepada cerdik pandai Islam di negara kita untuk melihat kembali bagaimana mudahnya undang-undang Islam diperkotak-katikkan,"katanya ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.
Nuridah bersama rombongan Dewan Muslimatnya telah berkunjung ke rumah keluarga Kartika di Kampung Jawang, Sungai Siput Khamis lalu. Turut serta beberapa muslimat lain termasuk dari Dewan Muslimat Negeri Perak sendiri.
Hukuman sebat ke atas Kartika ditangguhkan kerana sekarang dalam bulan Ramadhan. Selepas itu didedahkan hukuman itu ditangguhkan kerana tidak ada tukang sebat untuk undang-undang Syariah.
Kemudian apabila prosedur rayuan hendak dibuat, didedahkan pula bahawa negara ini belum ada penal rayuan syariah .
Nuridah turut kesal mendengar cerita Kartika mengenai tawaran peguam kepadanya untuk menyelesaikan kesnya di luar mahkamah.
Menurut Nuridah, Kartika memberitahu bahawa peguam ada menawarkan kepadanya untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah dengan syarat Kartika membayar RM2,000 kepada mahkamah dan tidak perlu hadir ke mahkamah apabila dipanggil untuk perbicaraan.
Dengan berbuat demikian, kes itu akan ditutup dan Kartika terlepas daripada dibicarakan. Menurutnya, 13 orang lagi yang ditangkap bersamanya ketika melakukan kesalahan yang sama melakukan perkara itu.
Dia bagaimanapun, enggan berbuat demikian sebaliknya bersedia untuk dibicarakan.
Beliau turut memuji sikap Kartika yang berani mengaku salah dan sanggup menerima hukuman di atas kesalahannya hatta dihukum di khalayak ramai sekalipun.
"Saya puji sikap Kartika yang sedia dengan hukuman itu. Setelah berjumpa sendiri dengan dia (Kartika) sebenarnya Kartika bersedia untuk menerima enam sebatan tersebut.
"Pada kartika perkara tersebut tidak perlu ditangguh, dan dia minta hukuman tersebut segera dijalankan," katanya.
Ditanya bagaimana keadaan Kartika ketika dikunjungi, Nuridah berkata, ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan itu kelihatan tenang dan bersahaja menerima kunjungan beliau.
"Saya nampak dia tenang sahaja. Tak adalah trauma cuma nampak keletihan sedikit sebab masa kami datang dia baru balik. Tapi dari sudut mental, ustazah tengok dari jawapan-jawapan dia, dia sebenarnya bersedia. Tak nampak macam dia takut untuk melalui hukuman tersebut," ujar Nuridah lagi.
Beliau turut meletakkan harapan agar Kartika dapat menjadikan peristiwa yang berlaku itu sebagai pengajaran kepada dirinya dan benar-benar insaf serta bertaubat kepada Allah SWT.
"Nasihat saya kepada Kartika dan juga kepada mereka yang minum arak, segeralah bertaubat minta ampun kepada Allah kerana peraturan tak boleh minum arak adalah ketentuan Allah. Jadilah hamba yang taat kepada Allah InsyaAllah kita akan bahagia," nasihatnya.
+ Segala apa yang berlaku adalah atas kehandakNya.. kita selaku makhluk seharusnya mengambil iktibar, negitu juga dengan apa yang berlaku pada Pilihanraya yang lalu PRU12. UMNO selaku Parti yang diberikan amanah oleh Allah utk mentadbir bumi Malaysia ni seharusnya Istiqomah dengan Hukum Allah bukannya mengambil Perundangan Kuffar yang ditulis oleh Load Reid. Kartika ini adalah contoh terbaik Allah mengajar Umat islam di dalam UMNO agar tidak hanya berpura-pura memperjuangkan Hukum Allah tetapi hendaklah berusaha sedaya upaya serta bertawakal kepadanya..
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan