Rabu, 3 Jun 2009

Benua Eropah ke arah wilayah Islam

MENJADI persoalan utama dewasa ini ialah meningkatnya bilangan orang Islam di benua Eropah. Tiga kemungkinan selanjutnya lalu dibayangkan orang Islam mengambil alih, mereka diusir atau berlakunya integrasi secara harmoni.

Ramalan itu dibuat oleh Daniel Pipes, seorang sejarawan Amerika yang telah menulis atau berkongsi menulis 18 buah buku dan kerap memberi kuliah di Amerika. Menurut catatan sebuah ensiklopedia mengenainya, pelbagai karya beliau dipuji dan dikritik kerana pandangannya bahawa Islam tidak selaras dengan demokrasi, kebebasan dan hak-hak asasi manusia.

Pipes juga pengasas Campus Watch, sebuah organisasi yang menentang apa atau siapa saja yang dianggapnya anti-Amerika dan anti-Israel. Antara lain, ini kerana ia keturunan keluarga Yahudi yang berasal dari Eropah. Pada tahun 2003 Presiden Bush melantiknya menjadi ahli Institut Keamanan Amerika.

Makalahnya yang terbaru bertajuk Eurabian Nights terbit dalam majalah The National Interest terbitan Amerika, keluaran Mac/April baru lalu. Bagi beliau hubungan di antara golongan minoriti Islam dan warga Eropah adalah satu “isu paling kritikal.” Ramainya pendatang Islam antara lainnya ialah kerana jarak di antara Maghribi dan Sepanyol cuma 13 kilometer saja.

Di Brussels, menurutnya lagi, nama paling popular sejak beberapa tahun lampau ialah Muhammad. Sementara itu kota Amsterdam dan Rotterdam diduga mempunyai majoriti penduduk Islam menjelang tahun 2015.

Pipes selanjutnya menulis: “London adalah tempat tinggal tujuh kali ganda lebih ramai lahirnya Kristian dari yang lahir beragama Islam, tetapi lebih ramai ke masjid pada hari Jumaat dari yang sembahyang di gereja pada hari Ahad.”

Beliau mengulangi pendapat mendiang Oriana Fallaci, seorang wartawan terkemuka Itali bahawa pada suatu masa kelak “Eropah akan beransur-ansur menjadi sebuah wilayah Islam, sebuah jajahan Islam.” Dan jajahan itu kelak akan dipanggil Eurobia.

Turut diulangi ialah kenyataan menggemparkan daripada seorang bernama Omar Bakri Mohamed: “Saya mahu Britain menjadi negara Islam. Saya mahu melihat bendera Islam berkibar di nombor 10 Downing Street.”

Pandangan sebaliknya datang daripada penulis pojok Amerika, Ralph Peters yang meramalkan bahawa orang Islam di Eropah kelak akan bernasib baik kalau dihalau saja dan tidak dibunuh. Ini kerana telah berlaku genocide atau pembunuhan enam juta orang Yahudi di benua Eropah dalam masa Perang Dunia Kedua waktu pemerintahan Nazi Jerman pimpinan Hitler.

Tanda-tanda permulaan ialah seperti di negara Perancis yang mengadakan undang- undang melarang pakaian bertudung bagi wanita Islam. Pada awal 2006 beberapa buah bandar Perancis melancarkan program memberi makan percuma sup babi bagi fakir miskin dan kerana itu fakir miskin Islam dikecualikan.

Juga diulangi ialah kenyataan Allahyarham Kalim Siddiqui pengerusi Institut Islam di London mengenai ancaman wujudnya nanti “dewan-dewan gas racun ala Hitler bagi orang Islam pula.”

Kerana itulah harapan wujudnya “senario paling gembira,” iaitu warga Eropah dan pendatang Islam hidup dengan aman damai satu sama lain kelak. Ini juga pendapat seorang sarjana pengajian Islam di Harvard, Jocelyne Cesari: “Orang Islam tidak mahu mengubah keadaan semula jadi Eropah.”

Pada akhir kata Pipes ialah dugaan: “Eropah kelak mara menjadi alam terra incognita.” Ertinya alam yang tidak dikenali.

Sebuah lagi pendapat mengenai Euro-Islam terbit dalam jurnal Current History, juga terbitan Amerika, oleh William Finan yang menyebut bahawa menjelang tahun 2050 kelak 20 peratus penduduk Eropah ialah orang Islam. Kini bilangan mereka cuma lima peratus.

Orang Islam di Eropah ketika ini hanya 23 juta, iaitu tidak termasuk orang Islam Turki apabila menyertai Kesatuan Negara Eropah. Pertanyaan utama kini ialah sama ada Turki dengan 70 juta penduduk diterima masuk Kesatuan Eropah. Seperti disebut oleh seorang sejarawan Turki: “Rasa bimbang manakala 70 juta orang Islam akan berlumba mencari kerja di Eropah dan sambil itu berkongsi sempadan pula dengan Iran, Iraq dan Syria menimbulkan rasa ragu-ragu di kalangan warga Eropah.”

Namun, mencetus keraguan ialah aktivis seperti Ayaan Hirsi Ali, wanita Somalia yang dulu Islam tapi kini murtad, yang digalakkan oleh pihak-pihak tertentu memberi ceramah memomokkan Islam di pelbagai forum di Amerika. Sebelum ini beliau mendapat perlindungan di Eropah (negeri Belanda) dan bersubahat membikin filem berjudul Submission yang mencerca agama Islam. sikap dan pandangannya yang anti-Islam dibawa ke Amerika dan disebarkan

Tiada ulasan: