Para pemimpin kanan Pakatan Rakyat (PR) pula menyifatkan Najib "tidak jujur".
"Beliau mendakwa bajet tidak ditukar, (dakwaan) yang tidak benar. Bajet telah ditukar," kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam sidang akhbar ahli-ahli Parlimen PR yang diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di lobi Parlimen .
"Beliau membentangkan bajet yang disemak semula (revised budget) sambil mendakwa ia bukan bajet yang disemak semula. Beliau tidak jujur".
Dalam sidang akhbar ketika Najib meneruskan ucapannya tentang pakej ransangan ekonomi itu, Anwar menjelaskan bahawa ahli-ahli Parlimen pembangkang memprotes "sikap angkuh" Najib yang enggan memberi laluan untuk penjelasan ketika beliau berucap.
Menurut Ketua Umum PKR itu, ketika Yang Di-Pertua Dewan bertanya Najib adakah beliau akan memberi laluan kepada Ketua Pembangkang untuk membalas hujahnya, Timbalan Perdana Menteri menjawab, "tidak"
"Kalau itulah caranya, apa guna kami berada di dalam Dewan," Anwar mempersoalkan.
Anwar juga mengkritik Najib yang dianggap tidak menghormati sama sekali prosedur Dewan. Pihak pembangkang, katanya, menunggu kemunculan Najib dengan bajet yang disemak semula sejak dua minggu lalu.
Ahli-ahli Parlimen pembangkang meradang, katanya, kerana mereka hanya diberikan beberapa minit sahaja untuk membincangkan bajet baru yang dipinda itu sebelum diluluskan.
Ketika menyampaikan pembentangannya, bakal Presiden Umno itu tidak membenarkan percubaan beberapa Ahli Parlimen pembangkang mendapatkan penjelasan darinya dan hanya bersedia menjawab soalan apabila beliau menghabiskan ucapannya.
Pihak pembangkang juga tidak berpuas hati apabila begitu banyak statistik yang dikemukakan oleh Najib begitu berbeza dengan statistik yang dibentangkan September lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu Menteri Kewangan.
Percubaan Anwar untuk menafikan dakwaan Najib kononnya belanjawan yang dicadangkan oleh beliau mewakili PR bersifat menguncup (contractionary) juga tidak dibenarkan.
Ketika ahli-ahli pembangkang keluar beramai-ramai itu, Najib berkata, "Bagus, bagus" dan selepas itu berkata "aman sikit Dewan ni pembangkang tak ada".
Sebelum itu, dalam kekecohan berikitan keengganan Najib memberi laluan untuk penjelasan itu, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memerintahkan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua keluar dewan. Tian Chua tidak dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat sehingga esok. -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan